Laman Utama Mengenai Bernama Peta Laman Meja Bantuan E-mel Cadangan Senarai Berita
Carian Berita
25 Januari, 2005
Selasa
Berita Malaysia
    Am
    Ekonomi
    Sukan
    Rencana
    Cuaca
    Berita Wilayah
   
  Berita Dunia
  Berita Bahasa Arab
  Siaran Media Eksklusif
  Galeri Foto
  Arkib Berita
  Pautan
   
  Waktu Solat
  Kalendar
  Cuti Umum
  Senarai PLKN
  Jawatan Kosong
  Tahukah Anda
Dengan peningkatan dalam industri automotif tempatan, anda ingin melihat:
 


Rencana

23 Januari, 2005 15:13 PM Hantar berita ini kepada rakan Versi bolehcetak berita ini

Sebuah Persahabatan Yang Istimewa


ERTI PERSAHABATAN… Dr Mazalan Kamis ketika bersama Saiful Mahdi (kanan). Mereka bukan sahaja tinggal di bangunan apartmen yang sama, malahan isteri mereka membeli-belah bersama-sama manakala anak mereka pula ke sekolah dan bermain bersama-sama.

Oleh Salmy Hashim

WASHINGTON, 23 Jan (Bernama) -- Rakyat Malaysia, Dr Mazalan Kamis, seorang fellow pasca ijazah kedoktoran di Cornell University, Ithaca, New York, hanya menjalin persahabatan dengan Saiful Mahdi, iaitu siswazah dari Aceh sejak setahun lepas.

Mereka tinggal di bangunan apartmen yang sama, isteri mereka membeli-belah bersama-sama manakala anak-anak mereka pula ke sekolah dan bermain bersama-sama.

Mereka sedang dalam percutian musim sejuk di Chicago apabila tsunami melanda pada 26 Dis.

Apabila gempa bumi dan ombak besar itu memusnahkan Banda Aceh, menghanyutkan 34 buah kampung serta mengorbankan banyak anggota keluarga Saiful, Mazalan, 41, segera menghulurkan bantuan dan mengumpul lebih US$50,000 (US$1=RM3.80) dalam masa tujuh hari dengan bantuan rakan-rakannya dari Malaysia, Indonesia dan Amerika selain masyarakat Amerika Syarikat di seluruh negara berkenaan.

"Kami mengetahui berita itu menerusi TV hotel di Chicago. Pada mulanya Saiful berjaya menghubungi bapa saudaranya dan apabila beliau cuba menghubunginya semula selepas itu, segala-galanya sepi. Kami pun memendekkan percutian dan berlepas pulang.

"Semasa kami memulakan perjalanan, jumlah kematian ialah 4,000 orang tetapi dengan pantas meningkat kepada 15,000 orang, kemudiannya 25,000 orang dan sebaik sahaja tiba di Ithaca selepas melalui perjalanan selama 14 jam, 40,000 orang telah terkorban di Banda Aceh. Kami begitu terkejut dan berasa amat sedih," kata Mazalan menerusi perbualan telefon dengan Bernama.

Sehingga kini, lebih 160,000 orang terkorban di Aceh dan hampir 70,000 orang lagi di Sri Lanka, Thailand, India serta sebahagian Afrika. Lebih 60 orang meninggal dunia di Malaysia.

Usaha menyalurkan bantuan dan pemulihan masih dijalankan bagi membantu mangsa-mangsa yang terselamat serta beribu-ribu anak yatim ekoran bencana berkenaan.

Mazalan memulakan inisiatif itu dengan menggerakkan masyarakat Malaysia-Indonesia (kira-kira 10 keluarga) di Ithaca dan Syracuse -- semuanya bersetuju bahawa sesuatu perlu dilakukan.

Beliau menghantar e-mail kepada rakan-rakannya, dan rakan-rakan itu kemudiannya menghubungi kawan-kawan mereka, berita tersebar dengan cepat di seluruh Amerika Syarikat dan jumlah wang yang tidak dijangka kemudian mengalir ke dalam akaunnya.

"Dalam masa tiga hari saya dapat mengumpulkan US$12,000. Sungguh mengagumkan kerana ada banyak orang yang sedia membantu. Dengan pertolongan seorang rakan, kami membangunkan laman web -- www.acehrelief.org -- dan menubuhkan Tabung Bantuan Aceh. Journal dan gambar-gambar milik Saiful mengenai apa yang berlaku di sana dapat dilihat menerusi laman web itu," katanya.

Stesen TV dan wartawan akhbar tempatan datang menemubual kedua-dua lelaki itu dan usaha-usaha luar biasa mereka.

"Masyarakat antarabangsa di Ithaca keluar beramai-ramai. Kami menerima wang dari Vermont, Washington, Florida, California, Ohio, New Jersey, Indiana, Texas dan New York daripada syarikat-syarikat, masyarakat Islam, kumpulan gereja serta pelajar-pelajar sekolah.

"Laman web dan tabung itu sehingga kini berjaya mengumpul lebih US$61,000. Ia merupakan pengalaman yang memberangsangkan dan kami harap mendapat lebih banyak sumbangan memandangkan keperluan yang amat mendesak," kata Mazalan.

"Saiful berlepas pulang dengan wang yang cukup untuk membeli bekalan, menyewa sebuah van dan trak kecil bagi mencari keluarganya serta membantu dalam usaha-usaha pemulihan.

Semasa dalam penerbangan dari Singapura ke Medan, beliau bertemu seorang pesara jururawat British berusia 69 tahun, yang secara sukarela memberi bantuan berkaitan perubatan. Van itu menjadi klinik bergerak dengan bantuan seorang doktor tempatan," kata Mazalan, yang berasal dari Pernu, Melaka. Beliau sudah berumahtangga dan mempunyai empat orang anak berumur antara empat dan 16 tahun.

Saiful, 36, yang telah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata, akhirnya menemui kakaknya, suaminya beserta tiga anak mereka yang menyelamatkan diri daripada ombak besar itu dengan bersembunyi di bumbung sebuah bangunan tiga tingkat.

Beliau masih mencari dua lagi adiknya dan keluarga mereka namun beliau percaya nenek serta bapa saudaranya sekeluarga maut dalam bencana itu.

Ibunya yang kini berada di Mekah untuk mengerjakan haji belum dimaklumkan mengenai tragedi itu.

Dengan wang yang berjaya dikumpulkan, kedua-dua lelaki berkenaan merancang menubuhkan sebuah "sekolah sementara" untuk terus memberikan pendidikan kepada kanak-kanak di kawasan terbabit.

Mereka juga bercadang membangunkan semula dua pusat tuisyen, yang dibina oleh Saiful.

Daripada 70 orang guru di pusat berkenaan, hanya 11 orang yang terselamat dan amat sedikit daripada 900 orang pelajar yang mengikuti pelajaran di situ yang masih tinggal.

Menerusi fasa 2, mereka bercadang membina sekolah berasrama penuh bagi anak-anak yatim dan Mazalan berharap agar dapat mewujudkan sebuah yayasan untuk jangka panjang.

Perancangan juga dibuat di Ithaca untuk mengambil sebuah kampung atau daerah sebagai anak angkat bagi proses pemulihan semula manakala dua orang guru tempatan menawarkan diri untuk mewujudkan hubungan antara Ithaca dan masyarakat di Aceh.

Kanak-kanak dari sebuah sekolah tinggi di Syracuse pula menjual riben hitam bagi pihak Tabung Bantuan Aceh manakala sebuah pawagam di Ithaca pula bercadang menayangkan filem Indonesia sebagai menyokong usaha berkenaan.

-- BERNAMA



 
 
 
Copyright © 2005 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels